PETALING JAYA – Seramai tujuh delegasi Malaysia yang ditahan rejim Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) telah menandatangani Surat Pengusiran Jamin Pembebasan Segera.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, status dua lagi delegasi tidak diketahui berikutan peguam belum sempat berjumpa mereka.
Beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) mengenai perkembangan terkini proses pembebasan kesemua delegasi terbabit.
“Proses tribunal dijangka selesai pada tengah malam ini (waktu Malaysia),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MyCARE, di sini, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, semua sukarelawan Malaysia yang ditahan di penjara Ketziot di Negev, Israel, dinasihatkan supaya menandatangi Surat Pengusiran Jamin Pembebasan Segera.
Semua aktivis misi kemanusiaan FFC x TMTG itu akan dibebaskan dalam tempoh 72 jam selepas borang berkenaan ditandatangani.
Terdahulu media melaporkan, lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ketika ditahan tentera Israel ialah Ketua Delegasi Malaysia, Prof. Emeritus Dr. Mohd. Alauddin, Dr. Fauziah Mohd. Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman dan Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi.
Selain itu, Prof. Dr. Mohd. Afandi Salleh, Dr. Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil, turut berada di atas kapal sama.
Seorang lagi doktor perubatan, iaitu Dr. Maziah Muhammad pula berada di atas kapal Umm Saad.
Semua mereka sebelum ini bersepakat untuk menandatangi Surat Pengusiran Jamin Pembebasan Segera sekiranya ditahan tentera Israel.
Penolong Ketua Delegasi Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Afandi Salleh berkata, ini memandangkan mereka tidak mahu mengambil risiko berpanjangan susulan penahanan tersebut. – KOSMO! ONLINE