MELAKA – Sebanyak 207 buah kenderaan diberikan Notis Temu Siasat selepas gagal menunjukkan slip Pengesahan Kefungsian Peranti Had Kelajuan (SLD) sepanjang Op SLD dijalankan sejak 1 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Siti Zarina Mohd. Yusop berkata, sehingga semalam, sebanyak 488 kenderaan telah diperiksa membabitkan 95 kenderaan perkhidmatan awam dan 353 kenderaan barangan melebihi 3,500 kilogram.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, hanya 57 kenderaan mengemukan dokumen SLD.
“Sebenarnya sudah banyak (kenderaan tahun 2015 ke atas) dilengkapi SLD, cuma mereka (pemandu) gagal membawa dokumen pembuktian. Hebahan juga telah dibuat berhubung penguatkuasaan ini, jadi mustahil mereka tidak tahu.
“Jadi kita keluarkan Notis Temu Siasat dan pengusaha diberi tempoh 14 hari untuk membuktikan kenderaan tersebut telah dipasang SLD,” katanya pada sidang akhbar Op SLD dan Op Pemakaian Tali Pinggang Keledar di sini, hari ini.
Siti Zarina berkata, sejak pelaksaan Op Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar bermula 1 Julai lalu, sebanyak 639 buah kenderaan telah diperiksa dengan 193 kenderaan dikenakan tindakan.
Menurutnya, sebanyak 274 Notis JPJ P22 telah dikeluarkan terhadap penumpang dan 27 notis kepada pemandu kerana gagal memakai tali pinggang keledar. – KOSMO! ONLINE