TANJUNG MALIM – Seramai 11 pekerja mengalami sesak nafas dan pedih mata selepas berlakunya kebocoran bahan kimia berbahaya melibatkan sebuah kilang di Bandar Proton di sini kira-kira pukul 12.42 tengah hari tadi.
Pemangku Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat kebocoran pada sistem paip yang mengakibatkan tumpahan bahan kimia jenis isosianat sebanyak 15 liter.
“Semua mangsa yang cedera telah dihantar ke klinik berhampiran sebelum pasukan bomba tiba di lokasi. Kebocoran pada sistem paip tersebut telah berjaya ditutup dan kerja-kerja pembersihan tumpahan bahan kimia itu sedang dijalankan menggunakan pasir.
“Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) telah dipanggil untuk mendapatkan nasihat mengenai prosedur kerja-kerja pembersihan yang selamat,” katanya di sini hari ini.
Katanya, kerja-kerja pembersihan dan pemantauan masih diteruskan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat. – KOSMO! ONLINE