fbpx
Antara gambar yang dikongsi rakan-rakan Zainal yang membawanya pulang dari KLIA 1.

ZRA pilih balik senyap-senyap, tiada sambutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Di saat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA 1) dipenuhi orang ramai yang menyambut kepulangan aktivis Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF), bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad memilih untuk pulang secara senyap tanpa sebarang liputan atau sambutan.

Menurut perkongsian sahabatnya, Syahril A Kadir, Zainal atau lebih dikenali sebagai ZRA pulang secara senyap-senyap ke rumah dengan dibantu rakan-rakannya.

“Air mata kami semua berlinangan bila memeluk lelaki berusia 58 tahun ini tadi di rumahnya tengah malam tadi. Turut hadir adalah antara tulang belakang ZRA Strim, saudara Nua.

“Tubuh Zainal makin kurus, riak keletihan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Syahril, bagi rakan-rakan yang telah lama mengenali Zainal, beliau semestinya tidak selesa disambut dan diraikan apatah lagi dianggap sebagai wira.

“ZRA, saya, Syirfan dan anak-anak didik beliau lahir dari sekolah kewartawanan, kami bergelumang dalam dunia media bukan sehari dua.

“Kami menjalankan tanggungjawab atas apa yang kami tulis dan apa yang kami sampaikan, tak lebih dari itu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia berharap agar orang ramai tidak mengambil hati kerana cara dan tindakan setiap orang adalah berbeza.

“Sebab itu saya rasa jangan ambil hati sekiranya beliau tidak menerima bila diiktiraf, menolak untuk diraikan, mengelak untuk dijulang…itulah dia!

“Kita boleh bersetuju atau tidak bersetuju dengan cara dia, tetapi kita kena terima hakikat setiap orang tidak dilahirkan sama, apatah lagi dalam pola pemikiran dan cara tindakan,” katanya.

Terdahulu, kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF selamat tiba di tanah air sekitar pukul 10.30 malam tadi.

Semua sukarelawan itu sebelum ini ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan zon merah di Laut Mediterranean sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI