SINTOK – Pelajar yatim piatu, Putera Iman Shah Shahiran, 19, yang tular selepas mendaftar seorang diri di Universiti Utara Malaysia (UUM) bulan lalu, menerima sumbangan berupa komputer riba dan wang tunai RM1,000 daripada Yayasan Pelajaran Mara (YPM).
Sumbangan seperti yang dijanjikan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini disampaikan kepada Putera Iman Shah oleh Ahli Lembaga Pengarah YPM, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri, di UUM hari ini.
Menurut Syed Mohd. Johan, penyerahan sumbangan itu melambangkan keprihatinan pihak Mara dan YPM serta Pengerusi Mara terhadap kebajikan pelajar, khususnya selepas kisah Putera Iman Shah tular di media sosial baru-baru ini.
“Kami berharap bantuan ini dapat menjadi dorongan buat Putera untuk terus bersemangat menuntut ilmu walaupun berdepan pelbagai cabaran. Saya telah menyampaikan amanah ini dan berharap dia akan terus berjaya serta mengharumkan nama universiti, agama, bangsa dan negara,” katanya selepas menyampaikan sumbangan tersebut.
Sementara itu, Putera Iman Shah melahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada pihak Mara, khususnya Pengerusi Mara atas sumbangan yang diberikan.
“Saya amat berterima kasih atas bantuan ini kerana ia benar-benar meringankan beban dan memberi semangat baharu untuk saya belajar bersungguh-sungguh. Saya mahu gunakan peluang ini untuk berjaya dan suatu hari nanti menyumbang semula kepada masyarakat,” ujarnya.
Putera Iman Shah kehilangan ibu, Khatijah Mohd. Rashid sejak berusia 13 tahun, manakala bapanya, Shahiran Pake Chi, meninggal dunia beberapa minggu sebelum dia mendaftar di UUM.
Kesedihan Putera Iman Shah yang mendaftar di UUM tanpa ahli keluarga pada 23 September lalu sedikit terubat apabila dia disambut mesra oleh kakitangan universiti itu sebaik tiba di Stesen Keretapi Arau, Perlis. – KOSMO! ONLINE