SEPANG – Gembira menyambut kepulangan isteri tercinta dalam keadaan selamat, usahawan Datuk Mahadi tidak keberatan untuk melepaskan sekali lagi Heliza Helmi menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Palestin pada masa akan datang.
Menurut Mahadi, dia menyokong sepenuhnya usaha murni Heliza bersama para delegasi GSF yang mahu membuka mata dunia mengenai kezaliman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
“Insya-Allah dengan adanya strategi dan platform yang betul, kita akan terus ikhtiar untuk membantu rakyat Palestin.
“Paling penting ialah mencapai objektif untuk membuka mata dunia mengenai kesengsaraan rakyat Palestin selain memecahkan sekatan Israel agar bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza,” katanya.
Dia dalam masa turut kecewa dengan komen negatif segelintir individu dalam media sosial yang mempertikai mengenai misi GSF termasuk terhadap para aktivis.
“Saya baca komen, antaranya yang berpandangan misi ini merugikan kerana gagal tiba ke Gaza dan penyertaan aktivis wanita. Hakikatnya ramai yang masih belum faham objektif GSF.
“Objektif utama kita nak pecahkan dulu sekatan Israel, kemudian buka mata dunia mengenai kesengsaraan Palestin, selepas itu barulah membuka lebih banyak laluan untuk membawa bantuan sampai ke Gaza.
“Realitinya, ini bukanlah pertama kali GSF digerakkan sebaliknya sudah masuk kali ke-37,” ujarnya.
Dia juga turut bersyukur Heliza selamat tiba ke tanah air selepas menjadi tahanan dan dilayan dengan kejam oleh tentera Israel selain terharu melihat sambutan rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Semalam, seramai 23 delegasi Malaysia misi kemanusiaan GSF selamat tiba di tanah air dari Istanbul, Turki selepas dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis.
Kesemua 23 sukarelawan termasuk selebriti Zizi Kirana, Ardell Aryana, Heliza dan Hazwani Helmi merupakan sebahagian daripada lebih 500 sukarelawan dari beberapa buah negara yang turut berlayar sejak September lalu.
Kapal dinaiki mereka dipintas tentera Israel sebelum dilayan dengan kejam sepanjang menjadi tahanan. – KOSMO! ONLINE