KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengizinkan misi kemanusiaan Sumud Nusantara untuk misi kedua melalui jalan darat.
Ini kerana kata Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby, Perdana Menteri boleh menggunakan hubungan akrabnya bersama kerajaan Mesir bagi menghantar misi melalui negara tersebut ke Gaza.
“Secara langsung, saya terfikir untuk minta tetapi malam ini saya minta agar Perdana Menteri mengunakan saluran beliau kerana rapat dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah Saeed Hussein Khalil Al-Sisi.
“Kami mohon izin untuk Sumud Nusantara menghantar bantuan melalui darat, kita sudah tiada peluang lain lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Soladariti Gaza di Stadium Arena Axiata malam ini.
Mengulaa lanjut, Sany Araby berkata, beliau juga mahu Perdana Menteri menjadi ketua misi (Chef de Mission) dalam pembebasan bumi Palestin.
“Saya juga harap agar Datuk Seri Anwar menjadi Chef de Mission agar Malaysia membebaskan Gaza dan membina semula kawasan tersebut,” jelasnya.
Terdahulu, Anwar tiba di himpunan tersebut kira-kira pukul 8.30 malam diiringi laungan “Bebas Palestin” dan “Free Palestin” oleh ribuan hadirin bergema di segenap penjuru stadium tersebut.-KOSMO! ONLINE