PETALING JAYA – SME Corp. telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Small and Medium Enterprise Development Authority (SMEDA), Pakistan di Putrajaya, kelmarin yang mewujudkan rangka kerja asas untuk mengukuhkan hubungan dua hala serta mempercepat pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di kedua-dua negara.
Majlis pertukaran MoU berkenaan disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif bersempena Lawatan Rasmi Perdana Menteri Pakistan ke Malaysia dari 5 hingga 7 Oktober 2025.
Kerjasama tersebut menumpukan kepada perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik terutamanya dalam pendigitalan, kelestarian dan akses pasaran.
Matlamat kedua-dua organisasi adalah untuk mewujudkan persekitaran lebih kondusif yang membolehkan PKS di kedua-dua negara dipertingkat untuk menjadi lebih berdaya saing dan menyumbang dengan signifikan kepada pembangunan ekonomi.
Populasi penduduk Pakistan yang besar dan muda, kemajuan urbanisasi serta pembangunan infrastruktur yang berterusan menyumbang kepada perkembangan permintaan pasaran seperti makanan dan minuman halal, produk pengguna, pemprosesan tani, pakaian sopan dan teknologi bersih.
Selain itu, kekuatan Malaysia dalam pensijilan halal dan inovasi digital juga memberikan kelebihan daya saing kepada PKS tempatan untuk menawarkan produk dan perkhidmatan premium.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Rizal Nainy berkata, pihaknya melihat potensi besar untuk PKS Malaysia ke pasaran Pakistan.
“Ini termasuk dalam bidang yang mempunyai kelebihan daya saing berikutan peningkatan permintaan di Pakistan seperti pakaian sopan berjenama, perkhidmatan platform, pendidikan kanak-kanak, pertanian lestari dan penyelesaian penjagaan kesihatan yang diterajui PKS,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE