KOMITED dalam setiap watak yang dijayakan sehingga sanggup berbulan-bulan berdisiplin atau ‘mengorbankan’ tubuh demi sebuah transformasi.
Begitulah dedikasi yang ditaruhkan Shaheizy Sam untuk setiap filem lakonannya. Jika sebelum ini pernah muncul dengan badan kekar dalam filem Polis Evo, kali ini melakukan hal berbeza untuk naskhah Badak arahan M. Raihan Halim.
Daripada ‘six-pack’, perutnya membuncit dan berat badan mencecah 90 kilogram (kg), satu transformasi berbeza yang dilakukan oleh seorang pelakon tanah air.
Menurut Sam, perubahan fizikal tersebut merupakan inisiatif sendiri kerana mahu mencipta identiti berbeza untuk setiap watak.
“Konsep saya dalam lakonan adalah untuk mencipta kepercayaan dan ingatan kepada penonton, tidak kisahlah menjadi mat rempit atau inspektor polis.
“Sebab bila sudah 30 tahun berlakon, imej Shaheizy Sam itu terlalu kuat sebab itu nak cari sisi berbeza supaya orang ingat watak saya.
“Disebabkan itu juga saya setuju ubah fizikal dan hanya ada tujuh bulan sahaja untuk hasilkan badan begitu dan naik sebanyak 30kg,” katanya kepada HibGlam.
Usahanya untuk filem tersebut bukan sahaja membuncitkan perut tetapi juga mempelajari bahasa isyarat untuk wataknya sebagai lelaki pekak dan bisu.
Kongsinya, dia hanya mempunyai masa tiga bulan untuk mahir menggunakan bahasa isyarat.

“Kami ada tiga bulan untuk belajar dan memahami bahasa isyarat dalam semua skrip, awal-awal memang agak bergelut jugalah.
“Namun saya tidak belajar untuk menjadi individu yang pekak sebaliknya apa yang diperlukan oleh Badak sahaja sebab masa tak cukup,” katanya yang teruja diberikan peluang menjayakan watak tersebut.
Mengenai tahap kesukaran mempelajari bahasa isyarat, dia mengakui perkara tersebut mencabar kemampuannya sebagai seorang pelakon.
“Susah dan memang perlu pergi ke kelas. Untuk menjadi Badak, saya juga melihat bagaimana individu pekak dan bisu berkomunikasi dari jauh.
“Orang bisu memang guna bahasa isyarat untuk berkomunikasi tetapi yang perlu difahami ialah bagaimana mereka menerima mesej, iaitu dengan melihat mata.
“Kita buat bahasa isyarat sedangkan mereka tidak tengok tangan, tetapi mata. Maksudnya reaksi wajah paling penting sebab itu saya terapkan bahawa rasa adalah sangat penting untuk watak Badak ini,” ujarnya.

Komited
Boleh dikatakan antara wajah eksklusif untuk sesebuah naskhah layar lebar, Sam turut mengakui hanya menetapkan untuk membintangi satu atau dua filem dalam tempoh setahun.
Ujarnya, syarat tersebut memberinya ruang untuk melakukan persediaan menjayakan mana-mana watak yang dipertanggungjawabkan.
“Setiap orang ada cara berbeza dalam bekerja dan begitu juga situasi kewangan.
“Alhamdulillah, Allah beri saya rezeki lebih sedikit dan membolehkan saya fokus kepada satu atau dua filem setahun,” jelasnya.
Sam bagaimanapun berkata, bukan semua pelakon berpeluang untuk melakukan hal sama.
“Tidak semua pelakon mampu buat begitu seperti ambil masa berbulan-bulan untuk buat persediaan kerana kita tidak tahu situasi orang lain.
“Misalnya, ketika saya bekerja untuk MIG Production, saya tiada masa hendak buat persediaan sebab pada waktu itu kewangan saya tidak beberapa bagus.
“Jadi, saya perlu bekerja ‘back to back’. Disebabkan itulah saya berlakon antara lima hingga enam filem setahun,” ujar suami kepada pelakon, Syatilla Melvin itu.
Meski pendapatannya sebagai seorang pelakon boleh dikatakan lumayan, dia tetap menjalan perniagaan sebagai sayap kedua mencari rezeki.
“Saya juga berniaga agar sentiasa ada pendapatan dan tidak perlu terlalu bergantung kepada lakonan,” ujarnya yang mula memperlahankan rentak menerima tawaran lakonan sejak tahun 2016 selain hanya menerima watak yang mampu menyerlahkan sisi berbezanya sebagai pelakon.
Filem Badak yang sudah menemui penonton seluruh negara sejak 2 Oktober lalu turut dibintangi Aida Amron, Wan Hanafi Su dan Kahoe Hon.
Naskhah menyentuh hati tersebut mengangkat tema kasih sayang antara bapa dan anak dan muzik sebagai jambatan penyatuan antara dua generasi berbeza.
