PUTRAJAYA – Kerajaan akan memperluaskan peranan Pusat Geospatial Negara (PGN) sebagai pusat rujukan data dalam pelaksanaan projek pembangunan negara secara lebih teratur dan berasaskan bukti.
Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, data yang dikumpul melalui PGN mampu memberikan gambaran jelas terhadap pelbagai aspek termasuk kawasan berisiko bencana, kesesakan trafik, keselamatan sempadan serta potensi pembangunan ekonomi.
Katanya, dengan penyediaan data yang lengkap mengenai muka bumi serta kawasan persekitarannya, kerajaan atau pemaju boleh mengenal pasti kawasan yang berisiko tinggi seperti kejadian banjir.
“Semua data dalam kerajaan dijadikan rujukan untuk pelbagai tujuan pembangunan. Contohnya, melalui sistem geospatial, kita boleh tahu kawasan yang sering terjejas banjir.
“Jadi, mana-mana pemaju yang ingin membangunkan kawasan tertentu perlu menggunakan data ini supaya pembangunan tidak dibuat di kawasan berisiko,” katanya selepas merasmikan Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan ke-10 di sini, hari ini.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, maklumat geospatial membolehkan kerajaan serta pihak swasta membuat keputusan lebih tepat sebelum melaksanakan sesuatu projek baharu.
Menurutnya, data yang dikumpul bukan sahaja digunakan bagi tujuan keselamatan dan perancangan bandar, malah turut mengoptimumkan perancangan logistik, peningkatan kecekapan pengurusan sumber serta penjimatan kos operasi.
Beliau berkata, data berkenaan penting dalam menarik pelaburan ke negara ini menerusi perancangan strategik termasuk penentuan lokasi gudang serta kawasan berisiko bencana alam yang boleh mengganggu jadual logistik.
“Pelabur yang datang ke negara ini mahu membuka kilang, tetapi bayangkan jika data ini tiada. Gudang mereka sudah siap, peralatan juga sudah masuk, namun apabila musim tengkujuh tiba, kawasan itu pula terjejas terlebih dahulu.
“Ini sudah tentu berisiko bagi mereka atau sesiapa sahaja yang mahu datang melabur. Jadi, melalui ‘guiding factor’ berpaksikan data ini, risiko dapat dielakkan. Dalam usaha mengurangkan risiko ini juga, ia memberi kesan kepada kadar premium insurans,” katanya.
Mengulas lanjut, Johari berkata, data geospatial turut menjadi salah satu komponen penting dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan pelbagai dasar serta projek kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Misalnya, dalam memantau kawasan tanaman, data PGN membantu mengenal pasti tahap kesuburan tanah termasuk kawasan yang perlu diberi perhatian khusus. Contohnya dalam penanaman kelapa sawit, getah, koko dan banyak lagi. Jika data ini tiada, kita tidak akan tahu tanaman dan tanah yang sesuai.
“Jika maklumat awal ini tidak sampai kepada kementerian atau kerajaan, bagaimana kita mahu memberi nasihat yang tepat kepada rakyat?
“Melalui data ini juga, kita boleh mengetahui mengapa ada tanaman yang mencapai tempoh matang hanya tiga tahun, manakala di lokasi lain mengambil masa empat hingga lima tahun. Ini sekali gus mengurangkan risiko terhadap apa sahaja aktiviti ekonomi yang dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE