MELAKA – Pikap jenis Isuzu yang videonya tular susulan menampal pelekat bertulisan Hebrew membawa maksud “Malaysia rumah kami” disahkan milik seorang lelaki dari Gemencheh, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan dibuat oleh Pegawai Khas Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Hairul Amin Madon yang mengesan rakaman kejadian di aplikasi Threads, semalam.
Katanya, hasil semakan mendapati kenderaan terbabit didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.
“Video berkenaan yang tular di aplikasi Threads memaparkan pelekat bertulisan Hebrew membawa maksud ‘Malaysia rumah kami’ atau ‘Malaysia di tangan kami’ pada bahagian belakang kenderaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Tambahnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan telekomunikasi.
Ujarnya lagi, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penyebaran video tersebut sementara siasatan dijalankan secara telus oleh pihak polis.
Terdahulu, video berdurasi 14 saat itu tular di media sosial sejak semalam dan mencetuskan ribuan reaksi di media sosial dengan rata-rata netizen mengecam tindakan pemilik kenderaan terbabit yang disifatkan cuba mencabar sensitiviti umat Islam.
Pegawai Khas Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Hairul Amin Madon turut membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Merlimau pada pukul 3.32 petang semalam sambil menyifatkannya sebagai provokatif dan tidak sensitif, apatah lagi ketika rejim Zionis terus menumpahkan darah rakyat Palestin di Gaza. – KOSMO! ONLINE