LUMUT – Seorang pemandu Perodua Rusa maut setelah van dipandunya terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di Kilometer 229.8 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara di Ayer Tawar, Sitiawan dekat sini semalam.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.40 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dikerah ke lokasi.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati terdapat seorang lelaki berbangsa Melayu berusia lingkungan 44 tahun telah tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, Ketua Operasi melakukan ‘size up’ dan mengaplikasikan konsep SAVER seterusnya mengarahkan anggota melakukan kerja penyelamatan .
Shazlean berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas ‘power unit cutter’ dan ‘hidraulic ram’ untuk membuat renggangan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Katanya, mangsa seterusnya dikeluarkan dari dalam kereta dengan menggunakan stretcher.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE