fbpx
Gambar hiasan.

Pegawai AKPS di kaunter manual wajib pakai kamera badan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pegawai Agensi Kawalan Sempadan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) diwajibkan memakai kamera badan bagi tujuan merakam setiap interaksi dengan pelawat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemakaian kamera badan itu membabitkan pegawai AKPS di kaunter manual pemeriksaan dokumen perjalanan di pintu masuk negara.

“Ia sebahagian pendekatan teknologi untuk mengekang risiko kegiatan sindiket ‘counter setting’ di pintu masuk negara termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai langkah menangani sindiket ‘counter setting’ yang masih berterusan.

Saifuddin Nasution berkata, kaunter manual pemeriksaan dokumen perjalanan juga akan dipantau rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pintar yang dilengkapi analisis video berasaskan kecerdasan buatan (AI)

Tambah beliau, kawalan dalaman seperti semakan perisytiharan harta dan pemantauan gaya hidup pegawai AKPS serta pelaksanaan program-program pengukuhan integriti turut dilaksanakan.

Kata beliau, Foreign Digital Identity (FDI) bagi mewujudkan identiti digital tunggal untuk setiap pelawat asing pula memastikan setiap pelawat mempunyai satu rekod rasmi yang unik dan sukar untuk dipalsukan atau dimanipulasi.

Selain itu, katanya, KDN juga melaksanakan Sistem Pemeriksaan Penumpang Awal (APSS) yang berfungsi menyaring maklumat pelawat sebelum ketibaan mereka di pintu masuk negara.

Kata beliau, KDN akan memperluaskan penggunaan mesin ‘autogate’ sebagai benteng utama menentang amalan ‘counter setting’ di semua pintu masuk negara menjelang 2028.

“KDN juga akan memperkukuh aspek pengawasan digital dan integriti data bagi kaunter manual yang masih beroperasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI