BATU GAJAH – Imej seekor buaya berhampiran tebing Sungai Kinta dekat Kampung Pisang di sini yang tular di media sosial dipercayai merupakan hasil janaan kecerdasan buatan (AI).
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, tiada aduan diterima pihaknya berkaitan penampakan buaya di lokasi berkenaan.
Bahkan, katanya, berdasarkan semakan terdapat imej haiwan lain di lokasi sama yang turut tular di media sosial.
“Palsu, ia gambar edit (suntingan) AI. Kita tidak terima aduan. Perhilitan tidak mempunyai kuasa terhadap penyebar berita palsu, namun tindakan boleh diambil melalui polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial gambar memaparkan imej seekor buaya berada berhampiran tebing sungai di Kampung Pisang, Batu Gajah sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai khususnya kaki pancing berkaitan keselamatan mereka. – KOSMO! ONLINE