fbpx
Muhammad Izzuddin (dua dari kanan) Bersama anugerah Ibnu Qayyim, di samping keluarga tercinta.

Muhammad Izzuddin anak Orang Asli pertama hafaz 30 juzuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI sebalik laungan takbir yang bergema dan doa yang dipanjatkan penuh syukur, wajah Muhammad Izzuddin Hasmadi terpancar ketenangan yang diselubungi rasa terharu.

Bibirnya bergetar melafazkan ayat suci sementara matanya sesekali berkaca tatkala bacaan terakhir menutup perjalanan panjang seorang hafiz muda.

Pelajar berusia 16 tahun tersebut menyempurnakan hafazan al-Quran bersama lebih 100 rakan lain pada Majlis Khatam Hafazan Al-Quran Perdana Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Bachok, Bachok, Kelantan.

Lebih membanggakan, anak suku Temiar dari Pos Balar, Gua Musang itu muncul sebagai anak Orang Asli pertama di Malaysia yang berjaya menghafaz 30 juzuk di bawah program Tahfiz Model Ulul Albab.

Program tersebut merupakan inisiatif pendidikan yang menggabungkan ilmu sains dan agama, bertujuan melahirkan individu profesional yang berpengetahuan luas dan berakhlak mulia.

Sebagai pengiktirafan atas pencapaiannya, Muhammad Izzuddin yang merupakan anak kepada pasangan Hasmadi Ghazali dan Norsiah Along itu turut menerima Anugerah Ibnu Qayyim.

Ia penghormatan kepada individu yang menunjukkan dedikasi luar biasa dalam hafazan al-Quran, dinamakan sempena ulama terkenal Ibnu Qayyim al-Jawziyyah.

Bagi pelajar tingkatan empat tersebut, pencapaian itu bukan sekadar kebanggaan, tetapi bukti bahawa azam, doa dan bimbingan keluarga mampu menembusi segala keterbatasan.

“Saya bersyukur kerana akhirnya dapat menamatkan hafazan 30 juzuk dan menjadi anak Orang Asli pertama di bawah program Ulul Albab yang melakukannya.

“Ia bukan sahaja satu kebanggaan, tetapi juga amanah besar untuk saya terus menjaga al-Quran dalam hati.

“Saya percaya dengan doa, azam dan sokongan keluarga, tiada halangan dalam melakukan hafazan yang tidak boleh ditembusi,” katanya kepada K-Remaja.

Minat Muhammad Izzuddin terhadap al-Quran mula bercambah di rumah apabila belajar bersama bapanya, Hasmadi yang merupakan guru pendidikan Islam.

Setiap bacaan yang bergema memberi ketenangan dalam hatinya dan menyalakan hasrat untuk menghafaz kalam Allah itu.

Perjalanan awal hafazannya bermula dengan surah-surah pendek, dari Surah Ad-Dhuha sehingga Surah An-Nas, di bawah bimbingan Ustaz Syibli di Sekolah Kebangsaan Pos Balar.

Walaupun lidahnya kadang-kadang tersangkut dan hafazan mudah terlupa, setiap kali berjaya mengingati sepotong ayat, timbul rasa bangga dan gembira.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu mengakui bahagian surah pendek merupakan antara yang paling mencabar kerana banyak ayatnya hampir sama hingga mudah tertukar.

“Biasanya, yang susah itu bahagian surah-surah pendek, sebab ada banyak ayat yang hampir sama. Bila ayatnya pendek-pendek, memang mudah jadi tertukar.

“Malah, waktu mula-mula dulu, untuk menghafal satu surah pendek pun boleh ambil masa yang lama,” katanya.

Biarpun pada awalnya masih bergelut dengan hafazan, bakat Muhammad Izzuddin dalam tilawah mula menonjol sejak darjah tiga apabila muncul sebagai johan pertandingan tilawah peringkat daerah Gua Musang.

Pada awal penyertaannya dalam pertandingan hafazan, dia memerlukan beberapa hari untuk menghafaz satu surah, dan percubaan pertamanya di darjah empat berakhir dengan kekalahan.

Muhammad Izzuddin ketika Majlis Khatam Hafazan Al-Quran Perdana SMKA Tok Bachok, Bachok, Kelantan di samping ibu bapanya yang berdiri bersebelahannya.

Namun, semangatnya tidak luntur kerana dalam masa yang sama, dia terus menyerlah dalam tilawah dengan meraih naib johan pertandingan tilawah peringkat kebangsaan ketika darjah enam.

Semasa pandemik Covid-19, semangatnya tetap menyala apabila terpilih mewakili Kelantan ke peringkat kebangsaan melalui rakaman video.

Pengalaman awal dalam menghafal surah pendek dan pencapaian dalam tilawah menjadi asas kukuh untuk pemilihannya ke program Ulul Albab di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok.

Bahkan, Muhammad Izzuddin dipilih sebagai anak angkat oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ini menjadikan dia murid Orang Asli pertama di negara ini yang berpeluang menyertai program Tahfiz Model Ulul Albab.

Untuk mengikuti program tersebut, dia terpaksa pindah ke sekolah asrama, dengan perjalanan lebih lima jam menaiki kereta meredah hutan dari Pos Balar ke Gua Musang, kemudian menyambung empat jam lagi ke Bachok.

Kongsinya, perjalanan jauh tersebut menjadi pembakar semangat untuk menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran lebih awal daripada sasaran program yang mensyaratkan hafazan diselesaikan sebelum tamat SPM.

“Saya rasa bertuah kerana dapat melengkapkan hafazan 30 juzuk setahun awal daripada sasaran program kerana kini saya boleh tumpukan pada akademik.

“Sepanjang hafazan, antara surah yang paling mencabar bagi saya ialah Surah Maryam, Asy-Syuara, dan Sad, kerana mengandungi ayat yang panjang serta banyak pengulangan,” katanya.

Kaedah hafazan Muhammad Izzuddin tersusun dan kreatif apabila menggunakan kaedah menghafal bahagian atas muka surat dahulu sebelum bahagian bawah.

Aktiviti dilakukan sebelum subuh kerana waktu itu dianggap paling baik untuk menumpukan perhatian.

Dia kemudian menulis semula ayat (tahriri) sebelum maghrib, dan membaca semula ayat yang disemak bersama ustaz atau rakan (tasmek) selepas maghrib hingga isyak.

Bagi menjaga pemikirannya, Muhammad Izzuddin akui tidak begitu cerewet mengenai dietnya tetapi sangat menjaga kandungan yang ditonton di media sosial.

“Kalau mahu menjadi hafiz yang bertakwa, kita perlu konsisten dalam usaha dan mendisiplinkan diri.

“Kita juga perlu menapis apa yang ditonton supaya hati dan fikiran sentiasa bersih, fokus, dan lapang untuk mengingati ayat-ayat Allah,” katanya.

Hasil pencapaiannya, Muhammad Izzuddin menerima tawaran menunaikan umrah pada 30 September hingga 11 Oktober daripada Yayasan Ri dan Alam Shah Travel.

Ia menjadikannya insan pertama dalam keluarganya yang berpeluang menjejakkan kaki ke Mekah dan Madinah.

Muhammad Izzuddin berharap kejayaannya dapat menjadi sumber inspirasi dan memberi keyakinan kepada adik-beradiknya serta masyarakat Orang Asli.

“Ramai anak Orang Asli memiliki bakat dalam hafazan dan tilawah, tetapi peluang untuk menyerlah sering terhad kerana mereka tidak mengetahui laluan sistematik.

“Saya beruntung kerana ayah saya seorang guru agama yang memahami laluan terbaik untuk menyokong bakat saya,” katanya.

Mengulas tentang masa depan, Muhammad Izzuddin bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di universiti awam tempatan.

Pengalaman menghafaz al-Quran bukan sahaja memperkukuh daya ingatan, malah melatih minda untuk menyerap ilmu secara sistematik dan mendalam.

Walaupun disiplin dan fokusnya terbina melalui hafazan, subjek Matematik Tambahan masih menjadi cabaran utama kerana memerlukan pemahaman konsep yang kompleks dan kemahiran menyelesaikan masalah secara logik.

“Saya ada masa setahun lagi sebelum SPM, dan saya beri tumpuan sepenuhnya untuk mencapai kejayaan dalam akademik.

“Sama seperti saya menumpukan hati dan usaha dalam bidang agama, saya mahu memastikan setiap pelajaran dapat difahami dan dihayati dengan baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN