SEPANG- “Kalau diizinkan, saya akan pergi lagi, Insya-Allah,” itu jawapan ringkas aktivis, Muhammad Hareez Adzrami, 25, atau lebih dikenali sebagai Haroqs ketika ditanya sama ada dia sanggup untuk menyertai misi kemanusiaan ke Gaza sekali lagi.
Haroqs merupakan antara 23 rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza yang berakhir dengan kesemua mereka ditahan oleh tentera Israel sebelum dibebaskan pada 4 Oktober lalu.
Berkongsi pengalaman, personaliti media sosial itu mengakui perjalanan penuh getir itu benar-benar menguji fizikal, emosi dan semangat mereka.
Namun dia menjelaskan, setiap detik pengorbanan itu tidak pernah sia-sia.
“Saya gembira dan bersyukur. Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan dan menyokong kami dari jauh.
“Saya harap pengorbanan kami semua ini dapat membuka mata, terutama kepada generasi muda untuk terus cakna dan bersama membantu rakyat Palestin,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, malam tadi.
Sementara itu, seorang lagi aktivis muda yang menyertai misi GSF, Haikal Abdullah, 25, dilihat menarik nafas lega apabila bertemu seluruh ahli keluarganya selepas melalui pelayaran penuh risiko di perairan antarabangsa.
Menurut Haikal, kepulangannya dari misi itu juga bukan lah satu penamat dan mereka akan terus bersolidariti demi bumi Palestin.
“Perjuangan ini lebih besar daripada kita. Ia perjuangan masyarakat sejagat, dari yang kecil hingga dewasa. Semua orang ada peranan, ada keberanian tersendiri. Kalau tak mampu pergi, kita bantu dengan doa, dengan suara, dengan apa sahaja kemampuan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE