PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 16 Oktober ini untuk membincangkan tarikh-tarikh penting dan perkara-perkara lain berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Setiausahanya, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pihaknya telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya, semalam berhubung pembubaran Dewan Undangan Sabah Ke-16.
“Sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 21 Fasal (4), Perlembagaan Negeri Sabah – suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut.
“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 16 Oktober ini untuk membincangkan tarikh-tarikh penting dan perkara-perkara lain berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Isnin lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah, sekali gus membuka laluan kepada PRN Sabah ke-17.
Pilihan raya kali ini akan menyaksikan pertandingan bagi semua 73 kerusi DUN di Sabah. – KOSMO! ONLINE