PUTRAJAYA – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan pemintasan dan serangan oleh rejim Zionis Israel terhadap sukarelawan kemanusiaan dan kapal yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) ketika dalam pelayaran menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Wisma Putra berkata, tindakan pencerobohan yang dilakukan di perairan antarabangsa terhadap satu misi kemanusiaan yang aman jelas menunjukkan pelanggaran serius terhadap undang-undang termasuk undang-undang maritim antarabangsa.
Katanya, pelanggaran itu turut melibatkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
“Malaysia menyeru agar semua peserta flotila dibebaskan serta-merta dan tanpa syarat.
“Malaysia juga menuntut Israel menghormati hak mereka sebagai sukarelawan kemanusiaan selain memastikan keselamatan serta maruah mereka terpelihara pada setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Pada masa sama, Kementerian Luar Negeri turut mengesahkan bahawa sembilan warga Malaysia adalah antara peserta yang berada di atas kapal flotila berkenaan.
“Keselamatan dan kebajikan semua rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan tertinggi kerajaan.
“Semua perwakilan diplomatik Malaysia di rantau berkenaan telahpun diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan telah mengambil langkah proaktif bagi menghadapi insiden ini.
“Ia termasuk melaksanakan penyelarasan rapi dengan pihak berkuasa serta kerajaan negara yang berkaitan,” katanya.
Wisma Putra berkata, perwakilan terbabit kini giat melaksanakan usaha untuk memastikan pembebasan segera dan selamat semua peserta yang ditahan serta memastikan kebajikan mereka sentiasa terjamin.
“Malaysia berdiri teguh menyatakan solidariti penuh bersama rakyat Palestin dan menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi untuk terus menyokong segala usaha antarabangsa bagi menamatkan
bencana kemanusiaan di Gaza.
“Ia termasuk mencapai keamanan yang adil, menyeluruh dan berkekalan di rantau tersebut,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan berdasarkan kenyataan oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCare), semua hubungan kapal yang menyertai misi itu telah terputus selepas dipintas dalam lingkungan 120 batu nautika dari perairan Gaza.
“Semua kapal FFC x TMTG telah dipintas di lingkungan 120 batu nautika dari Gaza.
“Semua hubungan telah terputus dan nasib mereka tidak diketahui. Ketika ini, mereka memerlukan doa kita. Sebarkan,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE