BANGKOK – Seorang lelaki Thailand maut selepas digigit semut ketika sedang memangkas pokok di sebuah ladang di wilayah Samut Prakan berhampiran Bangkok, lapor laman berita Thaiger semalam.
Ekkaphan Thianphanthong meninggal dunia di kawasan ladang yang terletak kira-kira 200 meter dari jalan utama, Isnin lalu.
Majikannya, Pirom Jayakan memberitahu polis bahawa dia mengarahkan Ekkaphan dan seorang lagi pekerja, Phichit Phurahong, untuk memangkas dahan pokok di sepanjang kolam ikan miliknya.
Ekkaphan memanjat untuk memotong dahan tetapi tidak lama kemudian, dia menjerit kesakitan dan menyatakan bahawa dia digigit semut.
Ketika mula turun, dia tiba-tiba rebah ke tanah.
Pirom dan Phichit bergegas membantu Ekkaphan, memberikan alat sedutan dan menyapu mukanya dengan air sejuk, tetapi keadaannya semakin merosot dengan cepat.
Ekkaphan dilaporkan mengalami sawan dan tidak sedarkan diri, menyebabkan Pirom menghubungi pasukan penyelamat yang kemudian gagal menyelamatkan nyawa mangsa. – AGENSI