fbpx
Shamil ketika ditemui media di Serdang, hari ini.

‘Kami dah agak kena pintas, tapi tak sangka sebegini awal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – Anak kepada Ketua Delegasi Malaysia dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Miles to Gaza (TMTG), Shamil Mohd. Alauddin, memaklumkan beliau serta keluarga sudah dapat mengesan sesuatu yang tidak kena apabila kapal yang dinaiki ibunya tidak lagi bergerak di aplikasi penjejak (tracker) sejak semalam.

Menurut Shamil, 40, beliau mula menyedari kemungkinan kapal diserang apabila tidak lagi menerima sebarang kemas kini daripada pasukan misi, selain laporan awal di media sosial memaklumkan kapal tersebut telah dinaiki oleh tentera Zionis.

“Saya tengok di Facebook dan kami juga ada tracker (alat penjejak). Bila tengok tracker tu dah tak bergerak lama, saya dah tahu ada sesuatu berlaku.

“Apabila lihat di Facebook dan Instagram pun dah keluar awal-awal maklumat kapal telah dinaiki tentera Zionis, boleh agaklah masa tu kemungkinan besar dah kena intercept.

“Memang terkejut sebab walaupun kami menjangkakan ia boleh berlaku, tapi tak sangka seawal ini. Kami ingat mungkin esok, tapi rupanya jadi sehari awal,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat MyCare, di sini hari ini.

Tambahnya, komunikasi terakhir bersama ibu bapanya, Dr. Mohd. Alauddin dan Dr. Fauziah Mohd. Hasan, berlaku semalam melalui panggilan video sekitar pukul 6 petang waktu Malaysia (12 tengah hari waktu tempatan).

“Masa tu mereka sempat berhubung. Ibu ada maklum nampak dron, tapi tak pasti milik siapa.

“Mereka juga beritahu masih berada di luar kawasan yang biasa berlakunya interception, jadi kami tak sangka ia akan berlaku secepat ini,” jelasnya.

Menurutnya, selepas pukul 10 pagi tadi, tiada lagi sebarang mesej atau panggilan diterima daripada mana-mana peserta misi termasuk ibunya.

Katanya lagi, walaupun ini bukan kali pertama ibu bapanya menyertai misi kemanusiaan ke Gaza dan pernah ditahan sebelum ini, perasaan bimbang tetap ada, apatah lagi dengan situasi semasa yang semakin tegang.

“Nak kata dah kebal tu taklah, sebab kita tak tahu macam mana situasi sekarang. Kita boleh nampak layanan terhadap misi sebelum ni makin agresif.

“Ibu saya pernah masuk penjara sebelum ini, jadi ada kebimbangan kalau kali ini mereka akan lebih kasar terhadap peserta. Kami hanya mampu berdoa dan berharap kerajaan dapat melakukan apa yang perlu untuk mempercepatkan pembebasan mereka,” katanya.

Setakat ini, komunikasi terakhir dengan kapal misi dilaporkan terputus pada pukul 10.03 pagi waktu Malaysia, dipercayai selepas ia dipintas oleh tentera laut Israel di perairan antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI