LONDON – Sekumpulan penunjuk perasaan pro-Palestin menghalang laluan di Jambatan Tower di London semalam, ketika kumpulan itu memperingati ulang tahun kedua serangan 7 Oktober 2023, lapor portal berita MailOnline.
Kumpulan penunjuk perasaan mengibarkan bendera Palestin dan menyalakan suar, menyebabkan lalu lintas terhenti sebelum mereka meneruskan protes di luar kediaman Perdana Menteri, Keir Starmer.
Mereka melaungkan ‘Zionisme, keganasan’ dan ‘Jangan ganggu Palestin’ ketika pasukan polis Scotland Yard mengenakan sekatan di bawah Akta Ketenteraman Awam dengan mengarahkan demonstrasi itu tamat pada pukul 8 malam (waktu tempatan).
Protes di ibu negara itu dianjurkan oleh kumpulan pro-Palestin, Intifada 87 yang merancang untuk mengadakan bantahan di luar ibu pejabat Perbadanan Penyiaran British (BBC) sebelum menuju ke Downing Street, tempat terletaknya Pejabat Perdana Menteri.
Kira-kira 50 penunjuk perasaan dikawal ketat oleh polis ketika mereka berarak di Regent Street dan melalui Trafalgar Square, dengan seorang daripadanya memegang sebatang lilin.
Seorang anggota kumpulan itu dilaporkan berkata, mereka berdiam diri sebagai tanda hormat kepada para syuhada yang terkorban di Gaza.
Mereka melaungkan ayat ‘dari sungai hingga ke laut’ dan ‘bella ciao’ iaitu tajuk lagu protes Itali ketika berada di luar pintu pagar Downing Street.
Perkara itu berlaku selepas puluhan pelajar mengingkari rayuan Starmer supaya membatalkan protes pada ulang tahun kedua pencerobohan Gaza.
Ketika berucap kepada lebih 100 penunjuk perasaan yang berkumpul berhampiran Universiti SOAS di Bloomsbury, bekas pelajar yang telah dibuang, Haya Adam berkata: “Keir Starmer menggesa pelajar supaya tidak berdemonstrasi hari ini (semalam) tetapi kami berada di sini hari ini (semalam).” – AGENSI