fbpx
Farah Lee menunjukkan pemakaian t-shirt sebagai tudung menjadi simbol kepada penindasan aktivis wanita ketika ditemui di KLIA di Sepang malam tadi. - Foto oleh FAISOL MUSTAPA

‘Ini ialah simbol sumud kami delegasi wanita GSF’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG- Pemakaian sehelai baju t-shirt putih yang dipakai di kepala seakan mengenakan tudung disifatkan menjadi simbol kepada penindasan wanita Palestin termasuk delegasi wanita Global Sumud Flotilla (GSF) yang dinafikan hak ketika ditahan Israel.

Menurut salah seorang aktivis GSF Malaysia, Norfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee, pemakaian t-shirt itu sebagai tudung turut menterjemahkan penindasan Israel terhadap amalan kepercayaan dan agama diamalkan aktivis Islam.

“Saya berdiri mewakili wanita dan ibu yang ditindas di Gaza. Jika kalian lihat di kepala saya (t-shirt digayakan sebagai tudung), ini ialah simbol sumud kami wanita delegasi GSF.

“Ia di mana hak untuk amalkan agama dan kepercayaan kami ditindas, tudung kami dirampas, kami dimalukan di hadapan lelaki bukan ajnabi dengan tidak memakai tudung.

“Kami terpaksa mengambil t-shirt putih ini dan menutup rambut dan kepala kami untuk menjaga maruah sebagai wanita,” katanya ketika berucap pada Majlis Menyambut Ketibaan 27 aktivis GSF yang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Pada masa sama, Farah Lee turut mengajak semua rakyat Malaysia untuk sama-sama memeriahkan Himpunan Sumud Nusantara di Axiata Arena di Bukit Jalil malam ini bagi mendengar perkongsian lanjut mengenai pengalaman delegasi ditahan Israel.

“Jadi, nanti kalian semua akan berpeluang mendengar cerita daripada setiap delegasi yang terlibat dalam misi kali ini.

“Bermacam-macam hak kemanusiaan ditindas termasuk akses kepada air bersih, ubatan selain ada penindasan dan macam-macam lagi,” katanya.

Menurut beliau, apa dilalui aktivis ketika ditahan Israel dinpenjara Ketziot, yang terletak di padang pasir Negev disifatkan hanya sedikit jika dibandingkan penderitaan rakyat Palestin.

“Itu mungkin adalah kurang satu peratus daripada penderitaan dan hak asasi manusia yang ditindas di Palestin dan Gaza.

“Jadi, saya sebagai wakil aktivis melahirkan rasa bangga dengan suara rakyat menyambut kepulangan delegasi. Moga suara ini digunakan untik membebaskan Palestin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI