PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) disarankan segera menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Khas (task force) yang terdiri daripada ahli bebas bagi menyiasat secara telus ‘skandal’ melibatkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ketika ini.
Pemehati sukan yang juga bekas Exco FAM, Datuk Christopher Raj percaya langkah tersebut wajar dibuat selepas krisis ini memberi tamparan hebat dalam arena bola sepak tempatan ketika ini.
“Pasukan task force ini perlu meneliti punca sebenar kegagalan, mengenal pasti kelemahan sistem, dan membentangkan laporan lengkap kepada presiden baharu FAM untuk tindakan susulan.
“Hanya melalui ketelusan dan akauntabiliti, keyakinan penyokong dapat dipulihkan,” kata mantan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Media FAM itu.
Sementara itu, Christopher turut menggesa supaya FAM mengadakan kongres pemilihan presiden baharu bagi melincinkan proses rayuan kepada FIFA selepas dihukum dengan denda selain penggantungan tujuh pemain warisan atas dakwaan pemalsuan dokumen.
Kata Chris, FIFA selaku badan induk bola sepak antarabangsa hanya akan berurusan secara rasmi dengan Presiden ahli gabungannya selain Setiausaha Agung dalam sesuatu urusan yang penting.
“Kenapa FAM mahu tunggu Februari (tahun depan) untuk buat pemilihan? Mereka sepatutnya melakukannya pada November atau Disember.
“Tidak kira siapa jadi presiden, yang penting proses pemilihan perlu dijalankan segera,” katanya.
Sebagai rekod, FAM ketika ini kehilangan ‘nakhoda’ selepas Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub melepaskan jawatannya selaku presiden pada Ogos lalu dengan Datuk Mohd. Yusoff Mahadi dilantik selaku pemangku sehingga kongres akan datang.
Kosmo! semalam melaporkan FIFA telah mengeluarkan laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” FAM telah melanggar peraturan di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA babitkan pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen rasmi.
Selain hukuman denda yang perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari, tujuh pemain turut digantung selama 12 bulan adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel. – KOSMO! ONLINE