KUALA LUMPUR – ‘Weaponized AI’ yang merujuk kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk tujuan jahat atau berbahaya dikesan berlaku di negara ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, ‘Weaponized AI’ bermaksud AI dimanipulasi untuk menyerang, menipu atau menjejaskan keselamatan pihak lain.
Menurut beliau, penggunaan ‘Weaponized AI’ di Malaysia dikesan dalam beberapa insiden yang direkodkan oleh CyberSecurity Malaysia.
Katanya, ia termasuk dalam kes penipuan ‘deepfake’ yang digunakan untuk pemerasan seksual dan penyamaran identiti serta peningkatan kes scam.
“Sindiket menggunakan AI untuk menghasilkan mesej atau panggilan palsu yang lebih meyakinkan serta meniru suara mangsa bagi memperdaya ahli keluarga atau rakan.
“AI turut digunakan untuk memproses dan mengeksploitasi data bocor daripada serangan siber, menjadikannya lebih mudah bagi penjenayah menyasarkan individu tertentu,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) berhubung peningkatan kes scam menggunakan teknologi ‘Weaponized AI’
Terdahulu, Gobind berkata, antara bentuk utama ‘Weaponized AI’ termasuk ‘deepfake’ berniat jahat mencipta imej, audio atau video palsu untuk tujuan penipuan, pemerasan, penyamaran atau propaganda.
Kata beliau, bentuk lain ‘Weaponized AI’ adalah serangan siber berautomasi iaitu AI digunakan untuk mengesan kelemahan sistem, melancarkan serangan penipuan dalam talian atau menggodam rangkaian pada skala besar.
Tambah beliau, bentuk lain adalah operasi maklumat palsu iaitu algoritma AI menjana mesej, berita atau kandungan automatik untuk mengelirukan masyarakat serta menggugat kestabilan sosial.
“Penipuan kewangan pintar pula AI digunakan oleh sindiket scam untuk meniru suara menyamar sebagai pegawai bank atau mengendalikan ‘chatbot’ bagi memperdaya mangsa,” katanya.
Gobind berkata, bagi memastikan keselamatan siber negara sentiasa terjamin, kerajaan menekankan pendekatan yang merangkumi aspek perundangan dan tadbir urus.
Jelas beliau, kerajaan telah menguatkuasakan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) bagi melindungi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negar serta memperkukuh Akta Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024 [Akta 709]
Ujar beliau, kerajaan juga sedang merangka Rang Undang-Undang Jenayah Siber untuk menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 yang akan menjadi undang-undang utama menangani jenayah siber.
“Kementerian ini sedang merangka undang-undang khusus berkenaan penggunaan AI yang bertanggungjawab. Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI (AIGE) telah diperkenalkan sebagai panduan berasaskan tujuh prinsip utama termasuk keadilan, keselamatan, ketelusan dan kesejahteraan manusia.
“Pendekatan ini diyakini dapat melindungi keselamatan siber negara serta mengekalkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap agenda digital Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE