SEPANG – Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) akan mengumukan gelombang kedua misi kemanusiaan pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada malam nanti.
Ketua Pengarahnya, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, misi gelombang kedua itu akan bernaung di bawah payung Sumud Nusantara.
“Insya-Allah, esok (hari ini) kita akan umumkan di Axiata Arena pada pukul 8 malam, bersama menteri-menteri penaung dan penaung utama kita, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita akan umumkan gelombang kedua dan bagaimana kalian semua boleh memainkan peranan sehingga Palestin merdeka,” katanya ketika berucap pada majlis menyambut ketibaan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) di sini, malam tadi.
Katanya, pihaknya mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya terus berjuang dengan kesatuan hati bagi memastikan pembebasan rakyat Palestin.
“Tekadkan hati, kuatkan semangat, dan jangan berhenti di sini. Ingat betul-betul, hari ini cukup untuk kita berkata ‘enough is enough’.
“Hari ini kita pulang dengan membawa satu mesej yang sangat kuat bahawa kita memiliki resepi tersendiri, iaitu kesatuan hati.
“Sumud itu adalah kita. Nusantara itu adalah kita. Kebangkitan itu adalah kita. Kita tidak akan tidur. Kita tidak akan alpa. Selagi mana Malaysia tidak berdiri di hadapan untuk mempertahankan Gaza,” katanya. – KOSMO! ONLINE