SERDANG – Kesemua sembilan kapal misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza telah dirampas secara haram oleh rejim Zionis Israel.
Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Datuk Seri Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, pihaknya mengesahkan lapan rakyat Malaysia berada di atas kapal Conscience manakala seorang lagi di atas kapal UMM Saad.
“Kami mula terputus hubungan komunikasi dengan semua kapal pada pukul 10.03 pagi (waktu Malaysia). Kapal pertama, Sun Bird di bawah Thousand Miles to Gaza (TMTG) telah ditangkap sekitar titik 120 batu nautika, diikuti lapan kapal lain termasuk Conscience.
“Kapal terakhir yang dipintas ialah UMM Saad,” katanya pada sidang akhbar Ibu Pejabat MyCare, di sini hari ini.
Beliau berkata, lapan wakil Malaysia di atas kapal Conscience ialah Profesor Emeritus Dr. Mohd Alauddin Mohd. Ali, Dr. Fauziah Mohd. Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman, Dr. Ili Syakirah Mohd. Suhaimi, Profesor Dr. Mohd Afandi Salleh, Dr. Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar, dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Katanya, seorang lagi rakyat Malaysia, Dr. Maziah Muhammad, berada di atas kapal UMM SAAD.
Kamal berkata, pihak MyCare mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif Israel yang bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, tetapi juga mencabuli hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat.
“Tindakan menahan kapal yang membawa bantuan kemanusiaan termasuk bantuan perubatan untuk rakyat Gaza adalah satu perbuatan yang tidak berasas dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk tindakan Israel dan menyatakan komitmen kerajaan untuk membantu para peserta misi.
Tambahnya, MyCare sedang berhubung dengan pihak berkuasa antarabangsa, rakan-rakan NGO serta keluarga delegasi Malaysia bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai nasib kesemua aktivis yang terlibat. – KOSMO! ONLINE