PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mendakwa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melakukan rumusan tidak tepat berhubung isu pemalsuan dan pengubahsuaian dokumen tujuh pemain warisan.
FAM memandang serius kesimpulan yang dibuat Jawatankuasa Disiplin FIFA dan akan menggunakan segala saluran untuk mempertahankan kepentingan bola sepak negara dan hak pemain.
“Dengan penerimaan dokumen ini, FAM akan mengemukakan rayuan secara rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan. FAM juga ingin menegaskan bahawa semua dokumen serta bukti sokongan berkaitan isu ini telah lengkap sepenuhnya dan sedia untuk dikemukakan kepada FIFA dengan kadar segera melalui saluran rasmi.
“FAM memandang serius beberapa kesimpulan, khususnya dakwaan bahawa para pemain “memperoleh dokumen yang dipalsukan” atau dengan sengaja berusaha untuk mengelakkan peraturan kelayakan. FAM menegaskan bahawa tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini telah dikemukakan oleh FIFA.
“Segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan dan diuruskan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan. Pada setiap masa, para pemain bertindak dengan penuh niat baik, bergantung sepenuhnya kepada proses pengesahan dan pendaftaran yang dijalankan oleh FAM.
“FAM berpendapat bahawa penggambaran ini adalah tidak tepat serta tidak adil dan perkara ini akan dibangkitkan secara menyeluruh melalui proses rayuan rasmi,” katanya.
FAM juga menjelaskan badan induk itu terikat secara undang-undang, selaras dengan peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966 dimana pendedahan berkaitan bahan atau proses tersebut tanpa kebenaran adalah dilarang sama sekali.
“FAM juga ingin menegaskan bahawa kes ini melibatkan dan mengandungi maklumat rasmi berhubung prosedur Kerajaan Malaysia bagi pengeluaran dan pengesahan pasport. FAM kekal komited untuk mempertahankan kepentingan bola sepak negara, melindungi hak para pemain, serta memastikan proses ini berjalan dengan telus dan mengikut peraturan,” katanya.