fbpx
MAGUIRE tidak akan diberikan sambungan kontrak di Old Trafford menyebabkan dia dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi. - AFP

EPL: Amorim sedia lepaskan pemain tonggak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Ruben Amorim dilaporkan sedang membentuk skuad tanpa kelibat pertahanan berpengalaman, Harry Maguire yang dijangka meninggalkan kelab itu pada akhir musim ini.

Bekas kapten The Red Devils itu masih memiliki kontrak lanjutan 12 bulan yang diaktifkan awal tahun lalu, namun laporan mendedahkan Maguire tidak akan ditawarkan sambungan baharu selepas berkhidmat sejak 2019.

Pemain berusia 32 tahun pernah bergelut dengan prestasi tidak menentu selepas menjadi pertahanan termahal dunia dengan perpindahan £80 juta (RM453.45 juta) dari Leicester City, namun berjaya bangkit semula selepas Bruno Fernandes mengambil alih lilitan kapten.

Amorim difahamkan bersedia berdepan kehilangan tonggak England itu yang kini menarik minat dua kelab Arab Saudi, Al-Nassr dan Al-Ettifaq dengan masing-masing menampilkan bekas bintang EPL seperti Cristiano Ronaldo dan Georginio Wijnaldum.

Ketiadaan Maguire dalam skuad England kendalian Thomas Tuchel turut menguatkan spekulasi bahawa beliau bakal berhijrah ke Arab Saudi bagi mendapatkan kontrak lumayan pada Januari nanti.

Terdahulu, Maguire mengakui masa depannya di Old Trafford masih samar dan akan berbincang dengan pihak kelab mengenai hala tuju kariernya menjelang musim depan.

Setakat ini, Maguire hanya turun dua kali sebagai kesebelasan utama dalam tujuh aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), selain menjadi pemain gantian ketika kemenangan ke atas Sunderland hujung minggu lalu.

Keputusan berpisah dengan Maguire juga membuka ruang kepada United untuk memburu pengganti baharu dengan pertahanan Everton, Jarrad Branthwaite kembali dalam radar selepas beberapa kali dikaitkan sebelum ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI