fbpx
Gambar hiasan

Elaun rendah, tidak ramai guru minat jadi pengetua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kadar elaun untuk pengetua dan guru besar yang rendah antara faktor yang mungkin menyebabkan tidak ramai guru berminat menyandang jawatan tersebut.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kadar elaun sebagai pengetua dan guru besar masing-masing sebanyak RM300 dan RM200 sebulan.

Justeru, Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) mengalu-alukan jika terdapat pembaharuan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung kadar elaun tersebut.

“Kami (KPM) ada dengar berkenaan pandangan daripada pihak pentadbir sekolah ia mungkin salah satu faktor yang membataskan atau menyebabkan kekurangan minat.

“Namun demikian kadar elaun ini ditetapkan oleh JPA dalam penggredan dan skim sedia ada. Ketika ini kedua-dua (kadar) elaun masih kekal,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berhubung kadar elaun untuk pengetua dan guru besar yang masih rendah ketika ini.

Kah Woh berkata, antara faktor lain membabitkan isu tersebut adalah slot untuk program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) yang rendah sebelum ini.

Jelas beliau, seseorang calon perlu mengikuti NPQEL sebagai prasyarat sebelum dilantik sebagai pengetua dan slot disediakan sebelum ini antara 800 hingga 900.

“Bagi tahun 2025, KPM telah meningkatkan jumlah pengambilan calon NPQEL kepada 1,652 orang. Ia merupakan bilangan paling tinggi sejak tahun 2021.

“Langkah ini mencerminkan kesungguhan KPM dalam membuat pengisian kekosongan jawatan Pengetua dan Guru Besar,” katanya.

Terdahulu, Kah Woh berkata, beliau sering mengingatkan para guru yang berpotensi menjadi pengetua atau guru besar bahawa jawatan itu satu tanggungjawab yang penting.

“Ia bukan sekadar satu jawatan. Apa yang lebih penting kita perlu menanam semangat yang bertanggungjawab untuk pastikan ekosistem pendidikan kita dapat berterusan dengan baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN