BARCELONA – Sebuah restoran di Sepanyol menghidangkan burger paling mahal dan eksklusif di dunia yang berharga €9,450 (RM46,300), lapor laman berita Oddity Central.
Cef-cef di Restoran Asador Aupa yang terletak di Cabrera del Mar, wilayah Catalonia mengambil masa lapan tahun untuk membuat kajian dan eksperimen bagi menghasilkan menu itu, namun ramuannya kekal rahsia.
Pengasas restoran dan cef selebriti terkenal Sepanyol, Bosco Jimenez berkata, untuk mencuba burger termahal di dunia itu, pelanggan perlu menerima jemputan ekslusif oleh Asador Aupa.
“Pengalaman merasai makanan ini adalah melalui jemputan sahaja. Ia tiada pada menu, tempahan tidak boleh dilakukan. Hanya mereka yang terpilih untuk mengalaminya sahaja dibenarkan merasainya,” kata Jimenez.
Menurut kenyataan laman web restoran itu, pelanggan boleh membuat permohonan untuk dijemput bagi merasai burger tersebut.
“Hanya mereka yang memenuhi semua syarat sahaja akan dijemput untuk mencuba burger paling eksklusif di dunia ini, tetapi tiada siapa yang tahu apakah syaratnya,” kata kenyataan itu.
Pelanggan yang terpilih akan dijemput ke bilik makan peribadi, duduk semeja dengan beberapa pelanggan bertuah lain dan merasai burger dimasak dengan tiga daging terbaik di dunia, keju paling eksklusif di Eropah dan sos istimewa, demikian menurut restoran berkenaan. – AGENSI