PUTRAJAYA – Kerajaan dijangka memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan defisit fiskal negara menjelang pembentangan Belanjawan 2026, Jumaat ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu dibuat meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi global dan ketegangan perdagangan antarabangsa yang memberi kesan langsung kepada ekonomi terbuka seperti Malaysia.
Katanya, ekonomi dunia kini turut terjejas akibat cukai tarif baharu yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) selain ketidaktentuan pasaran global yang boleh menjejaskan perdagangan antarabangsa.
“Kerajaan ini dalam berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan defisit. Dalam masa sama, kita juga mengambil maklum bahawa kedudukan ekonomi global juga terjejas dengan tarif yang dikenakan oleh AS dan ketidaktentuan yang berlaku dalam ekonomi dunia.
“Jadi, sebagai sebuah negara terbuka yang terlibat secara langsung dalam aktiviti perdagangan, perkara ini akan menjejaskan kedudukan ekonomi,” katanya ketika ditemui selepas selepas merasmikan Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan ke-10 di sini, hari ini.
Johari berkata, kerajaan akan mengimbangkan keperluan untuk meneruskan projek pembangunan strategik dengan tanggungjawab fiskal bagi mengelakkan peningkatan hutang negara.
“Banyak perkara global ini akan memberi kesan kepada kita. Sebab itu apabila kerajaan menyediakan bajet, saya percaya mereka juga akan berdepan perkara sama bagaimana mahu menyeimbangkan keperluan terus mara ke hadapan sambil mengurangkan defisit sebagai sebuah negara,” jelasnya.
Belanjawan 2026 akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan, sekali gus menandakan permulaan kepada Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang akan menggariskan dasar pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Pelaksanaan program tahun pertama di bawah Belanjawan 2026 perlu selari dengan kerangka besar RMK13 khususnya dalam menaikkan lantai dan mengawal siling supaya pertumbuhan ekonomi tidak meninggalkan golongan rentan. – KOSMO! ONLINE