PETALING JAYA – Perdana Menteri menyifatkan Belanjawan Madani 2026 yang akan dibentangkan di Jumaat ini bukan sekadar dokumen kewangan tahunan, tetapi ia adalah cerminan keutamaan kerajaan.
Malah kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, belanjawan itu juga merupakan hala tuju negara bagi tahun mendatang.
“Insya-Allah, perincian lanjut akan saya bentangkan dalam Belanjawan Madani Keempat pada Jumaat ini.
“Dengan tumpuan kepada usaha membela rakyat, memperkukuh ekonomi dan memperteguh asas negara yang mampan serta inklusif,”tulisnya di laman Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar turut menegaskan supaya media memainkan peranan penting dalam menyampaikan naratif reformasi dan agenda perubahan negara kepada rakyat.
Terdahulu, pada hantaran tersebut, beliau memaklumkan telah memberi taklimat berkaitan Belanjawan Madani 2026 kepada rakan-rakan media tengah hari tadi.
Belanjawan 2026 merupakan permulaan kepada Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang akan menggariskan dasar pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Pelaksanaan program tahun pertama di bawah Belanjawan 2026 perlu selari dengan kerangka besar RMK13 khususnya dalam menaikkan lantai dan mengawal siling supaya pertumbuhan ekonomi tidak meninggalkan golongan rentan. – KOSMO! ONLINE