KOTA BHARU – Sebanyak 1,912 ‘hot spot’ banjir dikenal pasti di seluruh negara sepanjang musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada bulan depan.
Pengarah Bahagian Mitigasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Ir. Ahmad Shahrir Md. Nazri berkata, kawasan paling banyak berlaku banjir ialah Sabah dengan 318 kawasan, Sarawak (236), Kedah (221), Pahang (172), Kelantan (26) dan Terengganu (17).
Menurutnya, lokasi yang dikenal pasti di Sabah terdiri daripada kawasan curam sekali gus menyebabkan aliran air yang deras.
“Negeri kedua yang paling banyak kawasan panas iaitu Sarawak juga mempunyai keadaan muka bumi yang curam dan landai.
“Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Pusat pada 13 Oktober ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Iklim Kebangsaan 2025 dan Kesiapsiagaan Bencana di sebuah hotel di sini hari ini.
Forum tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Nor Yahati Awang dan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Shahrir memberitahu, penduduk yang sering berdepan banjir disaran memuat turun MyIBJKM di platform Google Play atau Apps Store bagi membolehkan mereka menerima bantuan lebih cepat selain mengelakkan daripada tercicir.
Menurutnya, aplikasi itu merupakan penambahbaikan yang dilakukan kerajaan dalam usaha mengurangkan masalah di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Penduduk hanya perlu memasukkan butiran peribadi mereka sahaja. Jika mereka berlindung di PPS, bantuan akan terus dapat disampaikan tanpa perlu membuat pendaftaran dan mengisi borang,” katanya. – KOSMO! ONLINE