KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bakal mengadakan mesyuarat khas pada 16 Oktober depan.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata ia bertujuan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting dan perkara lain berkaitan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
“SPR sudah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya berhubung pembubaran DUN Ke-16 pada 7 Oktober lalu.
“Sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 21 Fasal (4), Perlembagaan Negeri Sabah, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut.
“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada 16 Oktober untuk membincangkan tarikh-tarikh penting.
“Selain itu, perkara-perkara lain berkaitan PRN17 Sabah turut akan dibincangkan dalam mesyuarat sama,” Katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Isnin mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada PRN17 Sabah diadakan. -KOSMO! ONLINE.