fbpx
Keadaan kereta yang dinaiki lima sekeluarga berkenaan.

Tragedi keluarga terbabas: Bayi retak tengkorak, ibu koma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Tragedi kemalangan melibatkan lima sekeluarga semalam yang terbabas di Jalan Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 22 telah mengakibatkan tengkorak bayi perempuan berusia lapan bulan retak.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, ini berdasarkan keadaan terkini empat mangsa yang kini masih dirawat di hospital.

Katanya, bayi perempuan tersebut yang masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang didapati cedera di kepala dengan tengkorak retak dan masih memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Ibunya pula berusia 38 tahun kini koma dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Shah Alam (HSA) selepas menjalani pembedahan limpa.

“Anak perempuannya berusia tujuh tahun pula mengalami kecederaan patah tulang kaki kanan dan akan menjalani pembedahan esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, seorang lagi anak perempuannya berusia empat tahun cedera patah tulang paha dan kedua-dua mereka dirawat di hospital sama.

Kosmo! semalam melaporkan kemalangan maut mengorbankan seorang lelaki dan menyebabkan isteri serta tiga anaknya parah berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah semalam.

Siasatan awal mendapati kejadian kira-kira pukul 2.30 petang yang mengorbankan pemandunya berusia 39 tahun berlaku selepas kereta dinaiki lima sekeluarga itu terbabas dan terlanggar tembok pembahagi jalan sebelah kanan di Jalan Persiaran Tengku Ampuan hala Persiaran Kuala Selangor.

Kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mana-mana saksi bebas atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI