SEREMBAN – Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan 62 jongkong tembaga milik sebuah syarikat di Nilai pada September lalu.
Tertuduh, R.Uthayakumar, 34, C.Narendran, 50, masing-masing bekerja sebagai pemandu lori dan V.Navendre Nair, 24, seorang penganggur bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, mereka didapati telah melakukan rompak berkumpulan terhadap sebuah syarikat dengan merompak 62 jongkong tembaga yang merupakan harta milik syarikat tersebut.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 6 petang di Jalan Seremban – Lebuh Raya Bukit Nenas di Nilai di sini pada 27 September lalu.
Sehubungan itu, ketiga-tiga tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan
Dalam pada itu, dua lagi lelaki G.G Gartick, 39, dan S.Mithiran Nair, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan tiga tertuduh Uthayakumar, Narendran dan Navendre Nair melakukan rompak berkumpulan terhadap syarikat berkenaan di lokasi dan masa yang sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara selama tempoh 20 tahun dan boleh didenda atau sebat.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nurnediahani Mohd. Ideris menawarkan jaminan RM20,000 terhadap kesemua lima tertuduh.
Peguam S.Khartigesan yang mewakili tiga tertuduh iaitu peniaga, Gartick, dan masing-masing pemandu lori, Mithiran Nair dan Narendran memohon jaminan paling minimum kerana mereka akan dijamin oleh ahli keluarga yang tidak mempunyai wang mencukupi.
Beliau berkata, Narendan merupakan orang kelainan upaya (OKU) dan mempunyai empat orang anak yang masih belajar manakala isterinya tidak bekerja.
Dua lagi tertuduh, Uthayakumar dan Navendre Nair yang masih bujang tidak diwakili peguam turut memohon jaminan paling rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan kesemua lima tertuduh dijamin RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 November depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.- KOSMO! ONLINE