MELAKA – Satu klip video memaparkan sebuah pikap mempamerkan pelekat bertulisan Hebrew membawa maksud “Malaysia rumah kami”, tular di media sosial, sejak hari ini.
Video berdurasi 14 saat itu mencetuskan ribuan reaksi dengan rata-rata netizen mengecam tindakan pemilik pikap terbabit yang disifatkan cuba mencabar sensitiviti umat Islam.
Pegawai Khas Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Hairul Amin Madon yang mengesan sendiri video berkenaan turut membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau pada pukul 3.32 petang tadi.
Beliau berkata, penggunaan bahasa Ibrani yang dikaitkan dengan agama Yahudi dan rejim Zionis itu amat tidak wajar, terutama ketika dunia sedang menyaksikan kekejaman berterusan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Ujarnya, sehubungan itu pihaknya menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap pemandu berkenaan.
“Tindakan ini boleh menimbulkan kegusaran awam ketika masyarakat sedang marah menyaksikan kekejaman Israel terhadap rakyat Gaza.
“Tulisan Hebrew itu membawa maksud ‘Malaysia rumah kami’ dan perkara ini wajar disiasat segera,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Menurutnya, tindakan menampal pelekat berunsur provokatif itu tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi menimbulkan salah faham dan menggugat keharmonian masyarakat majmuk.
Tambahnya, berdasarkan maklumat orang ramai, kenderaan jenis Isuzu berwarna putih itu dikesan berada di sekitar Melaka dan didakwa turut bergerak hingga ke Negeri Sembilan.
“Perkara ini amat mengguris hati rakyat, khususnya umat Islam di Melaka yang mengikuti rapat perkembangan di Gaza dan misi kemanusiaan Sumud Flotilla,” katanya. – KOSMO! ONLINE