PETALING JAYA – ‘Saya menangis tanpa henti, terima kasih ambil berat tentang saya.’
Itu perkongsian salah seorang daripada 23 sukarelawan Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali sebagai Haroqs melihat hantaran oleh orang awam selepas berita pembebasannya diketahui.
Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya, Haroqs turut meluahkan rasa bersyukur kerana mendapat sokongan berterusan daripada rakyat Malaysia sepanjang tempoh penahanannya.
Peserta termuda itu menjadi inspirasi dalam memperjuangkan misi kemanusiaan walaupun dipintas oleh tentera Israel di Laut Mediterranean ketika dalam perjalanan ke Gaza.
Perkongsian hantaran itu menjadi kemunculan semula Haroqs di media sosial selepas lima hari ‘menyepi’ dibawah tahanan tentera Israel.
Untuk rekod, 23 sukarelawan Malaysia dilaporkan antara yang ditahan dalam serbuan tentera Israel ke atas kapal misi kemanusiaan GSF ketika dalam perjalanan membawa bantuan ke Gaza, sebelum akhirnya dibebaskan selepas desakan antarabangsa.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Dr. Kloski Kuzaibek yang menitipkan pesanan kepadanya (Haroqs) yang sedih kerana gagal membawa coklat buat rakyat Gaza.
Kini, ketibaan delegasi aktivis Sumud Nusantara dijangka tiba malam ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA1). – KOSMO! ONLINE