POKOK SENA – Pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna di sini yang menempatkan mangsa banjir dari daerah ini sejak Jumaat lalu ditutup pada pukul 11.30 pagi ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, PPS tersebut menempatkan 200 penduduk terjejas dari empat kampung dan taman perumahan pada Sabtu lalu dan berkurangan sehingga hanya 12 penduduk pada pukul 8 pagi tadi sebelum ditutup.
Katanya, sehingga pukul 12 tengah hari ini, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar masih menempatkan seramai 140 mangsa daripada 40 keluarga dari 10 kampung dalam mukim Langgar dan Limbong.
“Mereka adalah dari Kampung Alor Raja, Kampung Makam Diraja, Kampung Limbong, Kampung Alor Setol, Pondok Haji Ahmad, Kampung Pokok Asam, Kampung Tanjung Inggeris, Kampung Alor Besar, Kampung Pagar Air dan Kampung Pondok Syeikh,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, paras air di Sungai Pendang di Pekan Pendang, Pendang, dekat sini melebihi tahap bahaya dengan trend menaik sehingga pukul 11 pagi tadi.
Paras air Sungai Kedah di Ampang Jajar MADA (F2), Kota Setar dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar pula melebihi tahap waspada dengan trend menaik. – KOSMO! ONLINE