KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menetapkan 5 November bagi keputusan permohonan keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung pembekuan dan penyitaan akaun bank oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim Datuk Aliza Sulaiman menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak hari ini.
Semasa prosiding, keluarga Allahyarham Daim diwakili selaku pemohon diwakili peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar manakala Peguam Kanan Nurhafizzah Azizan bertindak bagi pihak kerajaan dan lima yang lain sebagai responden.
Permohonan semakan kehakiman itu difailkan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk mewakili Allahyarham suaminya bersama empat anak serta 18 syarikat yang berkaitan terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan.
Mereka memohon perintah untuk membatalkan tindakan SPRM menyita harta alih itu yang dikenakan mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Sebanyak 18 syarikat juga dinamakan sebagai pemohon iaitu Aad Equity Sdn Bhd, Yayasan Haji Zainuddin, Ilham Baru Sdn Bhd, Anchor Point Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Adrihaniz Sdn Bhd, Syarikat Maluri Sdn Bhd, Amiraz Sdn Bhd, Ridana Sdn Bhd, Daan Sdn Bhd, Maya Seni Holdings Sdn Bhd, Magical Zone Sdn Bhd, Permatang Maju (M) Sdn Bhd, Brainstorms Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Gajah3 Resource Centre Sdn Bhd, Ilham Tower Sdn Bhd dan Selidik Jaya Sdn Bhd.
Semua pemohon menamakan Penolong Penguasa Sektor Sasaran Operasi Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM Haris Fadhila Sukaime, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, SPRM, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia, sebagai responden pertama hingga keenam.
Mereka juga memohon perisytiharan bahawa tindakan penyitaan harta alih yang dikenakan SPRM mengikut Seksyen 50 AMLATFPUAA dan semua tindakan serta keputusan diambil responden pertama hingga keempat adalah tidak sah dan terbatal.
Ia adalah kerana menurut pemohon, tindakan itu melanggar hak perlembagaan mereka, menyalahi undang-undang, dibuat dengan berniat jahat (mala fide) dan penyalahgunaan proses undang-undang serta kuasa oleh responden pertama hingga keempat.
Mereka turut memohon satu perintah supaya ganti rugi dan kos untuk ditaksirkan menurut Seksyen 44 (6) AMLATFPUAA, ganti rugi am dan teladan, kos serta perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Sementara itu, Na’imah melalui afidavit sokongan bagi menyokong permohonan itu berkata mereka sekeluarga terjejas berikutan tindakan SPRM menyita akaun terbabit.
Dakwa Na’imah, keputusan dan tindakan itu disengajakan untuk menyasarkan beliau dan keluarganya, dengan mendakwa mereka sekeluarga korup dan membuat kekayaan dengan cara yang salah di sisi undang-undang.
Katanya, beliau dinasihati oleh peguam dan percaya bahawa segala keputusan serta tindakan SPRM adalah bagi tujuan sampingan politik semata-mata dan mereka (keluarga) tidak didakwa di mahkamah atas kesalahan berkaitan AMLATFPUAA. – KOSMO! ONLINE