KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun dan rogol membabitkan empat wanita maut ketika cuba melarikan diri daripada polis di sebuah residensi di Wangsa Maju, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 12.40 tengah hari apabila pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pecah rumah di kediaman berkenaan.
“Dua anggota polis bergegas ke lokasi dan cuba menghubungi penghuni rumah, namun tiada jawapan. Lima minit kemudian, seorang lelaki membuka pintu.
“Anggota memperkenalkan diri sebagai polis dan masuk ke rumah untuk membuat pemeriksaan. Suspek secara tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau pemotong daging dan cuba menetak anggota,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fadil, suspek berusia 26 tahun kemudian mengadu sesak nafas sebelum rebah di tempat kejadian.
“Pihak polis menghubungi ambulans dan suspek disahkan meninggal dunia ketika diperiksa petugas kesihatan,” ujarnya.
Fadil berkata, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur, hari ini mendapati punca kematian masih dalam siasatan dan tiada kecederaan fizikal ketara dikesan pada tubuh suspek.
Jelasnya, siasatan lanjut mendapati, ketika kejadian terdapat empat mangsa wanita tempatan berada di dalam rumah tersebut.
“Suspek menyamar sebagai penghantar barang untuk masuk ke rumah. Dia kemudian mengikat tangan kesemua mangsa dan mengurung tiga daripadanya di bilik utama.
“Seorang lagi mangsa dibawa ke bilik kedua dan dirogol sebanyak dua kali, masing-masing di dalam bilik dan tandas,” jelasnya.
Fadil berkata, kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan pada tangan, muka dan badan.
Katanya, semakan rekod lampau jenayah mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan samun di Selangor dan Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE