ISKANDAR PUTERI – “Naiklah Zal, mak tunggu di sini, dah dua minggu mak tak tengok kamu.”
Itulah luahan pilu seorang warga emas, Normah Abdul Rahman menanti ‘kepulangan’ anak ketiga daripada 10 beradik yang hilang dalam tragedi bot fiber tenggelam di perairan Puteri Harbour berhampiran Jeti Kampung Tebing Runtuh di sini, sejak pagi semalam.
Normah, 67, berkata, dia reda dengan kejadian dan tetap berharap anaknya, Alpaizar Abd. Mois ditemui dengan apa keadaan sekalipun.
“Dia anak sulung lelaki walaupun dia anak ketiga, saya jaga dia sendirian sejak arwah bapanya meninggal sejak 26 tahun lalu, saya jaga dia 10 beradik.
“Sudah dua minggu saya tak jumpa dia, saya reda dengan apa yang berlaku apa yang saya nak, nak jumpa anak saya buat kali terakhir.
“Saya nak peluk cium dia,”katanya ketika ditemui di Jeti Kampung Tebing Runtuh di sini hari ini.
Sementara itu, isterinya, Nuraini Jusoh, 39, kali terakhir dia jumpa suaminya pada kira-kira 11.30 malam, kelmarin.
“Masa itu dia cakap nak keluar memancing udang, sebelum itu dia makan nasi dulu sebelum bergerak dengan rakannya, Mansor Dulakih.
“Saya dapat tahu pagi semalam kira-kira pukul 8.30 pagi, ada orang maklumkan suami jatuh laut.
“Dia tak ada pesan apa-apa sebelum dia turun, dia selalu turun memancing ke laut bila dia cuti, memang hobi dia,”katanya.
Terdahulu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan I, Saifulizam Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9 .01 pagi, semalam.
“Bot tersebut karam pada jarak 10 meter dari tebing. Dua mangsa masing-masing berusia 40-an menaiki bot berkenaan, dengan seorang daripadanya berjaya diselamatkan orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.
“Seorang lagi mangsa masih belum ditemui, dengan anggota bomba sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan.-KOSMO! ONLINE