PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa moral adalah asas utama dalam tadbir urus negara.
Beliau berkata, tanpa tujuan moral, perkhidmatan awam akan kehilangan arah serta gagal memenuhi keperluan rakyat.
“Teras tadbir urus ialah moral. Perkhidmatan awam yang gagal mendengar suara golongan lemah atau terpinggir akan kehilangan legitimasi.
“Kemajuan yang tidak disertai belas ihsan menjadi berbahaya, pembangunan tanpa keadilan pula menjadi kosong,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas berucap di Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan ASEAN: Perkhidmatan Awam Yang Bersedia Menghadapi Masa Hadapan, di sini, hari ini.
Anwar dalam masa sama turut menekankan tentang pembaharuan kerajaan yang perlu dihubungkan agar berfungsi sebagai satu entiti.
“Langkah seterusnya ialah menghubungkan semua pembaharuan ini supaya kerajaan berfungsi sebagai satu entiti, bukan berpecah-pecah atau secara silo.
“Ia pastinya cabaran besar (memandangkan) seluruh struktur perkhidmatan awam atau pentadbiran awam pada asasnya berbentuk pengkhususan mengikut bidang namun ia memang perlu diberi tumpuan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE