fbpx
Asrillia kini muncul dengan album baharu yang turut memuatkan lagu saduran Afgan berjudul Terima Kasih Cinta.

‘Lagunya semua saya hafal’ – Asrilia impi duet dengan Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penyanyi baharu sensasi dari Indonesia, Asrilia meluahkan hasrat besar untuk berduet dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dianggapnya sebagai idola sejak di bangku sekolah.

Pemilik nama sebenar Asrilia Kurniati itu berkata, Siti bukan sekadar figura legenda di Malaysia, malah turut menjadi inspirasi besar buat ramai penyanyi muda di seberang termasuk dirinya.

“Saya memang mengagumi Siti Nurhaliza sejak dulu lagi. Lagu-lagunya semua saya hafal dan suka, seperti Aku Cinta Padamu, Bukan Cinta Biasa, Wajah Kekasih, Cindai dan Seindah Biasa.

“Kalau diberi peluang berkolaborasi dengan penyanyi Malaysia, sudah tentu saya akan memilih Siti. Kehebatan dan auranya dalam dunia nyanyian memang luar biasa. Saya rasa semua penyanyi Indonesia pun pasti mengaguminya,” katanya.

Penyanyi lagu Di Mana Salahnya dan Semakin Rindu Kemarin itu berkata, dia kini giat merancang langkah untuk menembusi pasaran muzik Malaysia dan mahu dikenali di negara ini.

“Indonesia dan Malaysia satu rumpun, jadi saya mahu gunakan peluang ini untuk berkongsi bakat di sini,” katanya penuh semangat.

Sebagai langkah pertama memperkenalkan diri kepada peminat tempatan, Asrilia tampil dengan lagu Terima Kasih Cinta nyanyian semula daripada penyanyi terkenal Afgan.

“Saya tahu lagu itu sangat popular di Malaysia. Jadi saya hasilkan versi wanita sebagai satu kelainan. Tiada niat nak menumpang populariti lagu itu, saya cuma mahu berkongsi rasa dan bakat dengan cara tersendiri,” katanya.

Menurut Asrilia, Terima Kasih Cinta versi dirinya tampil dengan sentuhan lebih lembut dan emosi wanita yang berbeza daripada versi asal.

“Saya harap peminat Malaysia boleh menerima versi saya. Ini permulaan untuk saya dikenali di sini, insya-Allah lebih banyak karya baharu akan menyusul,” ujarnya.

Tidak hanya berbakat, Asrilia turut menunjukkan kematangan dalam menghadapi dunia hiburan apabila mengakui sudah bersedia dengan sebarang bentuk kritikan dan komen netizen.

“Sebagai artis, kita perlu kuat. Kalau ada yang menegur atau mengkritik, saya ambil itu sebagai pembakar semangat. Publisiti baik atau buruk itu perkara biasa,” katanya.

Mengulas isu gosip dan publisiti murahan yang sering menghiasi dunia seni, Asrilia berkata ia terpulang kepada penilaian masyarakat.

“Bagi saya, publisiti murahan atau tidak, itu bergantung kepada persepsi orang. Kalau niat kita baik tapi disalah tafsir, jangan cepat marah. Kita yang pilih untuk jadi public figure, jadi kena kuat dari segi mental dan fizikal.

“Pendek kata, publisiti baik atau buruk, hadap saja. Asalkan bukan buat jenayah atau perkara memalukan,” katanya sambil tersenyum.

Asrilia kini antara bintang muda Indonesia yang sedang meningkat naik dan berhasrat untuk menjejakkan nama di Malaysia menerusi karya berkualiti serta semangat juangnya yang tinggi. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI