JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor telah mengesan 10 kes kenderaan berpendaftaran Singapura yang mengisi petrol bersubsidi iaitu RON95 di stesen-stesen minyak negeri ini sejak Januari lalu sehingga hari ini.
Sehubungan itu, Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pengusaha stesen minyak khususnya yang beroperasi di kawasan berhampiran sempadan negara perlu lebih cakna dengan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang mengisi minyak petrol di premis mereka.
Menurut beliau, tujuh kes direkodkan berlaku di Johor Bahru, manakala masing-masing satu kes di Kota Tinggi, Segamat dan Pontian.
“KPDN Johor memang menekankan kepada pengusaha stesen minyak terutama di Johor agar mereka perlu lebih cakna, prihatin, sensitif dengan isu ini. Namun majoriti mereka memberi alasan terlepas pandang tetapi kita tidak mahu perkara ini berulang.
“Sejak Januari lalu, 10 kes dikesan, manakala sejak insiaitif Budi MADANI 95 (BUDI95) dilaksanakan, tiga kes telah tular di media sosial dalam tempoh seminggu ini. Kita telah mulakan siasatan dan tindakan seterusnya akan diambil termasuk merujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Hari Bertemu Pelanggan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Pasaraya Econsave Taman Teratai, di sini, hari ini.
Tambah Lilis Saslinda, pihaknya akan terus mengadakan sesi libat urus bersama jabatan dan agensi-agensi berkaitan lain bagi membantu mengatasi perkara ini.
“Antara langkah diambil termasuk meletak tanda peringatan sebelum kenderaan berpendaftaran asing masuk ke negara ini melalui mana-mana pintu sempadan dan lain-lain langkah.
“Kadangkala pemandu kenderaan Singapura ini hanya mencuba-cuba untuk mengisi petrol RON95, sebab itu pemantauan pengusaha dan pekerja di stesen minyak itu perlu dipertingkat, termasuklah kerjasama orang awam.
“Satu lagi mereka perlu tahu, walaupun mereka rakyat Malaysia, tetapi masih tidak boleh mengisi petrol RON95 kerana memandu kenderaan berpendaftaran asing, kalau RON96 silakan, tetapi bukan RON95,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE