ISKANDAR PUTERI – Pelakon dan penyanyi, Ifa Raziah bengang selepas tidak dapat menikmati inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) ketika mengisi minyak petron bersubsidi di sebuah stesen minyak di Gelang Patah, di sini hari ini.
Pemilik nama sebenar Saripah Raziah Mustapha mendakwa, dia sudah mengisi minyak petrol bersubsidi RON95 menggunakan kad pengenalan sebanyak empat kali dan semuanya mendapat subsidi.
Namun, hari ini dia meluahkan rasa kecewa selepas dinafikan hak untuk menikmati harga minyak RON95 pada harga RM1.99.
“Hari ini 7 Oktober saya berada di Gemilang Petrol Mart, Gelang Patah, Johor, baru tadi saya isi dengan kad pengenalan (IC) isi minyak RM60 sepatutnya dapat subsidi, tapi tak dapat subsidi, saya dah masukkan IC, dah tekan sepatutnya (lulus) dapat subsidi.
“Dekat mana sistem yang betulnya dekat stesen minyak ini? Sepatutnya semua warganegara Malaysia guna IC dapat hak subsidi masing-masing.
“Tapi hari ini saya isi, masih lagi tidak dapat subsidi, jadi apa masalah dia, adakah stesen minyak ini yang bermasalah atau sistem yang bermasalah,” soalnya.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya sedang melakukan semakan dan siasatan berhubung video tular melibatkan artis berkenaan.
“Sekarang ini kita tidak tahu mungkin disebabkan masalah teknikal atau macam mana. Pihak kami sedang mendapatkan penjelasan daripada pengusaha stesen minyak tersebut.
“Kami juga berharap agar artis tersebut (Ifa Raziah) bersedia untuk dihubungi KPDN dalam membantu pihak kami dalam menjalankan siasatan lanjut,”katanya.-KOSMO! ONLINE