fbpx
HAALAND (tengah) meledak gol tunggal perlawanan ketika City meraih kemenangan ke atas Brentford kelmarin. - AFP

EPL: Guardiola cipta sejarah EPL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BRENTFORD – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mencipta sejarah baharu di Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila memintas pencapaian dua pengurus legenda, Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger.

City turun berdepan Brentford pada aksi EPL di Stadium Gtech kelmarin dengan berjaya meraih kemenangan 1-0 hasil jaringan tunggal Erling Haaland sekali gus menyaksikan Guardiola meraikan kemenangan ke-250 sepanjang kariernya di England.

Kejayaan itu sekali gus menjadikannya pengurus terpantas meraih 250 kemenangan dalam karier selepas hanya mengharungi 349 perlawanan berbanding Ferguson yang memerlukan 404 aksi dan Wenger (423) untuk mencipta pencapaian sama.

Sepanjang 10 tahun di Etihad, Guardiola berjaya menjulang enam gelaran EPL dan beliau memiliki rekod sebagai pengurus yang memiliki peratus kemenangan paling tinggi dalam sejarah dengan 71.6 peratus.

Beliau juga berjaya menghadiahkan keseluruhan 18 trofi buat The Citizens sepanjang tempoh berkenaan termasuk gelaran Liga Juara-Juara yang buat kali pertama dalam sejarah dimenangi kelab itu.

“Satu penghormatan apabila diletakkan sebaris dengan Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger. Saya berhajat untuk menjemput mereka menikmati makan malam.

“Ia bagaikan satu kepuasan apabila dapat menjadi sebahagian daripada sejarah Liga Perdana Inggeris. Sekarang saya akan cuba memenangi lebih banyak perlawanan selepas ini,” katanya.

Pada musim 2017/18, City menjadi pasukan pertama yang mengumpul 100 mata untuk semusim apabila meraih 32 kemenangan daripada 38 perlawanan selain mereka juga pasukan pertama memenangi gelaran EPL untuk empat musim berturut-turut.

Sepanjang 349 perlawanan melibatkan Guardiola sebagai pengurus, City telah berjaya meledak 842 gol dan hanya bolos 299 kali. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI