KUALA LUMPUR – Malaysia mengeksport sebanyak 115,359 tan metrik durian bernilai RM6.37 bilion ke pasaran China dalam pelbagai bentuk termasuk sejuk beku, segar serta pulpa dan pes sejak tahun 2018 hingga 2025.
Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen semalam, eksport durian tempatan ke China terus menunjukkan trend positif sejak pintu pasaran negara itu dibuka kepada produk berkenaan.
Pada tahun 2018, Malaysia merekodkan eksport durian pulpa dan pes sebanyak 3,555 tan metrik dengan nilai RM202 juta.
Setahun kemudian, pada Jun 2019, Malaysia mula mengeksport durian sejuk beku biji ke China melibatkan 3,177 tan metrik bernilai RM143 juta, manakala eksport pulpa dan pes meningkat kepada 5,239 tan metrik bernilai RM168 juta.
“Pada 2020, eksport durian sejuk beku biji meningkat kepada 6,225 tan metrik (RM286 juta), manakala eksport pulpa dan pes menurun kepada 3,456 tan metrik dengan nilai RM171 juta.
“Pada 2021, eksport durian sejuk beku biji ke China meningkat dua kali ganda kepada 12,153 tan metrik (RM577 juta), manakala “pulp and paste” meningkat kepada 5,895 tan metrik (RM368 juta),” tulis kementerian.
Kementerian itu menjawab soalan daripada Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berkenaan jumlah tan metrik dan nilai dagangan pengeksportan durian sejuk beku, durian segar dan durian ‘pulp and paste’ ke pasaran China dari tahun 2018 hingga 2025.
Dalam pada itu, KPKM berkata pihaknya melalui Jabatan Pertanian terus komited untuk meneroka peluang serta memperluaskan pasaran baharu durian Malaysia ke negara-negara lain seperti Taiwan dan Peru.
“Nilai eksport durian dari Malaysia dijangka mencecah RM1.8 bilion pada 2030 melibatkan kuantiti eksport sebanyak 69,000 tan metrik,” kata kementerian itu.-KOSMO! ONLINE.