fbpx
GAMBAR HIASAN

Dewan Rakyat: 11 lesen pengendali, 12 permit kenderaan perdagangan dibatalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR- Sebanyak 665 tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap syarikat pengendali kenderaan perdagangan sejak pelaksanaan audit keselamatan jalan (Jisah) tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sehingga Ogos 2025, sebanyak 11 lesen pengendali dan 12 permit kenderaan telah dibatalkan.

“Terdapat 562 lesen pengendali turut digantung bagi tempoh tertentu selepas gagal mematuhi audit Jisah.

“Sebanyak 56 permit kenderaan turut digantung dan 24 amaran telah dikeluarkan kepada pihak terbabit. Jadi jumlah keseluruhan tindakan setakat ini adalah 665 dan kita akan terus memperhebatkan tindakan-tindakan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mordi Bimol (PH – Mas Gading) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, JPJ telah melaksanakan 7,228 audit Jisah di seluruh negara meliputi pelbagai kategori operasi setakat 31 Ogos 2025.

Langkah-langkah audit itu katanya adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Pengangkutan untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan memastikan semua pengendali kenderaan berat mematuhi peraturan sedia ada.

Mengenai jumlah syarikat pengendali kenderaan perdagangan berdaftar pula, beliau memaklumkan sehingga 30 April 2025, terdapat 48,002 syarikat pengendali kenderaan perdagangan berdaftar dan bukannya 300,000 seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Kekeliruan ini mungkin berpunca daripada perbezaan antara bilangan syarikat pengendali dengan jumlah keseluruhan kenderaan perdagangan berlesen, iaitu sebanyak 372,586 kenderaan bas dan lori di bawah kawal selia Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI