ISKANDAR PUTERI – “Aku nak peluk nak cium anak aku, mak dah dua minggu tak tengok kau Zal.”
Itu luahan pilu seorang ibu, Normah Abdul Rahman, 67, ketika menyaksikan jasad anaknya, Allahyarham Alpaizar Abd. Mois timbul di permukaan air hari ini selepas hilang lebih 24 jam ketika turun memancing bersama rakannya di perairan Puteri Harbour berhampiran Jeti Kampung Tebing Runtuh di sini.
Allahyarham Alpaizar, 43, ditemui pada pukul 12.55 tengah hari ini oleh seorang nelayan yang mengikuti operasi mencari dan menyelamat mangsa sejak pagi semalam.
“Terima kasih Ya Allah, Kau dengar doa kami, syukur Ya Tuhanku.
“Betul sangkaan keluarga Ya Allah Kau timbulkan adik aku tepat pukul 1. Syukur Ya Allah,”luah kakak Alpaizar, Lina Alina, 44, sambil memeluk isteri mangsa, Nuraini Jusoh, 39, yang lemah selepas menyaksikan jasad suami tercinta terapung kira-kira 100 meter dari jeti.
Sementara itu, ibu mangsa, Normah terpaksa dipapah sejurus mengetahui jasad anak ketiga daripada 10 beradik itu timbul selepas menunggu penuh sabar ‘kepulangan’ anaknya.
“Aku nak peluk nak cium anak aku, mak sudah dua minggu tak tengok kau Zal. Akhirnya kau ‘balik’ jugak nak,” luahnya menangisi pemergian anak ke negeri abadi.
Normah berkata, dia bersyukur dan reda dengan apa yang berlaku ke atas bapa empat anak itu.
“Memang hobi dia suka memancing sejak kecil lagi, selalu ikut arwah bapanya ke laut sebab arwah suami kerja nelayan dulu.
“Sudah dua minggu mak cik tak jumpa tengok dia, selepas dapat tahu Alpaizar jatuh laut, saya terus ke jeti ini dari rumah Pangsapuri Jasa, Mutiara Rini, Johor Bahru, sejak semalam.
“Hari ini dia ‘pulang’ untuk jumpa mak cik sekejap sebelum pergi menemui Ilahi. Mak cik reda dan syukur sebab doa mak cik nak tengok jasad dia buat kali terakhir,”katanya.
Sementara itu, kakak mangsa, Lina Alina berkata, jasad Allahyarham Alpaizar akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebing Runtuh selepas proses bedah siasat selesai.
“Kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan penyelamat dan penduduk kampung serta nelayan yang turut serta bersusah payah untuk mencari adik saya,”katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan mengesahkan penemuan mayat Alpaizar ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini.
Jelasnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk bedah siasat.
“Saya mengedahkan mayat mangsa yang hilang sudah ditemui terapung oleh nelayan pada pukul 12.55 tengah hari, kira-kira 700 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh selepas bot dinaiki tenggelam.
“Dalam kejadian itu, bot yang dinaiki dua mangsa tenggelam selepas dimasuki air ketika mereka berusaha untuk melepaskan sauh yang tersangkut di dasar laut,”katanya.
Rakan mangsa, Mansor Dulakih, 43, terselamat selepas berenang dan berpaut pada rumah rakit berhampiran lokasi bot tenggelam sebelum menjerit meminta tolong.-KOSMO! ONLINE